PELAKSANAAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF


widget

Wednesday, 8 April 2015

KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS

Kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan atau kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan, kebaikan dan kelemahan sesuatu hujah dan membuat perbandingan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah.

Contoh kemahiran berfikir secara kritis:

  • Mencirikan
Mengenal pasti kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu konsep atau objek.

Kemahiran ini digunakan untuk mendefinisikan konsep atau item; mengenali antara konsep atau item yang hampir serupa.

  • Membanding atau membezakan
Mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kriteria seperti ciri, kualiti, sifat dan unsur sesuatu objek atau peristiwa. 

Kemahiran ini digunakan apabila terdapat dua atau lebih ciri atau kemungkinan; membuat pilihan atau keputusan.

  • Mengumpul atau mengelaskan
Mengasingkan dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan masing-masing berdasarkan kriteria tertentu seperti ciri atau sifat. Pengumpulan ini adalah berdasarkan ciri atau sifat sepunya. 

Kemahiran ini dapat digunakan apabila terdapat banyak maklumat atau maklumat terbabit tidak tersusun.

  • Membuat urutan
Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib berdasarkan kualiti atau kuantiti ciri atau sifatnya seperti saiz, masa, bentuk atau bilangan.

Kemahiran ini digunakan untuk menyusun item atau maklumat supaya mudah difahami dan item tertentu mudah dikesan.

  • Menyusun mengikut maklumat
Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib berdasarkan kepentingan atau kesegeraan.

Kemahiran ini digunakan untuk menonjolkan perkara yang mustahak dan menentukan tindakan yang perlu dibuat dahulu.

  • Menganalisis
Mengolah maklumat dengan menghuraikannya kepada bahagian yang lebih kecil bagi memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat.

Kemahiran ini digunakan untuk mengenali bahagian-bahagian, memahami hubung kait antara bahagian dan mengenali prinsip yang terlibat. Menganalisis ialah suatu kemahiran yang kompleks menggunakan beberapa ciri kemahiran berfikir.

  • Mengesan kecondongan
Mengesan pandangan atau pendapat yang berpihak kepada sesuatu atau menentang sesuatu.

Kemahiran ini digunakan apabila terdapat sesuatu pernyataan yang cuba mempengaruhi keputusan atau pendapat seseorang.

  • Menilai
Membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara daripada segi kebaikan dan keburukan berdasarkan bukti atau dalil yang sahih.

Kemahiran ini digunakan untuk membuat bagi memilih sesuatu dan menerima atau menolak sesuatu idea.

  • Membuat kesimpulan
Membuat pernyataan tentang hasil sesuatu kajian yang berdasarkan kepada sesuatu hipotesis atau mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan penyiasatan.

Kemahiran ini digunakan untuk membuat keputusan, menerangkan sesuatu, meramal dan menyokong pernyataan.



Kemahiran Kritis Peringkat Rendah


  • Membanding membeza
Definisi : Meneliti pelbagai persamaan dan perbezaan antara dua objek, peristiwa, idea, berdasarkan aspek-aspek tertentu.

Tujuan
a. Mempelajari dua atau lebih perkara serentak
b. Memahami sesuatu perkara dengan lebih jelas
c. Membantu membuat keputusan dengan lebih bijak
d. Mengklasifikasikan idea
e. Membuat generalisasi dan membina konsep

  • Membuat kategori
Definisi : Mengelompokkan maklumat ke dalam kumpulan atau kelas tertentu mengikut ciri sepunya.

Tujuan
a. Mengesan ciri sepunya
b. Menyusun mengikut ciri
c. Memudahkan mencari maklumat
d. Menerangkan sesuatu mengikut kategori
e. Membuat analisis atau merangka untuk penulisan

  • Menyusun mengikut urutan
Definisi : Keupayaan mengatur perkara mengikut susunan atau urutan tertentu

Tujuan
a. Memilih susunan yang sesuai mengikut keutamaan dan tujuan
b. Memudahkan cara penyimpanan dan perolehan maklumat

  • Meneliti bahagian kecil dan keseluruhan
Definisi : Keupayaan melihat dan memahami perhubungan, perkaitan, kepentingan dan pertalian antara bahagian kecil dengan keseluruhan.

Tujuan
a. Menentukan fungsi bahagian kecil
b. Mengaitkan setiap fungsi bahagian kecil dengan keseluruhan

  • Menerangkan sebab
Definisi : Menggunakan minda untuk mengkaji dan menjelaskan sebab kejadian berdasarkan alasan dan bukti yang munasabah

Tujuan
a. Mencari pelbagai punca sebab sesuatu perkara berlaku

b. Memberi sebab sebenar untuk mengesahkan kemungkinan





Kemahiran Kritis Peringkat Tinggi



  • Membuat ramalan
Definisi : Membuat jangkaan terhadap sesuatu peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang berdasarkan bukti dan maklumat.

Tujuan
a. Membuat persediaan tertentu untuk mengalami peristiwa baharu
b. Membuat keputusan awal berdasarkan maklumat dan bukti
c. Mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang mungkin

  • Mengusul periksa andaian
Definisi : Menyiasat dan memeriksa sama ada andaian yang telah dibuat benar atau tidak berdasarkan bukti.

Tujuan
a. Memeriksa sesuatu andaian benar atau tidak
b. Membuat keputusan berdasarkan hasil andaian yang telah diperiksa

  • Membuat inferens
Definisi: Membuat kesimpulan berdasarkan maklumat, bukti atau pola tertentu.

Tujuan:
a. Membuat kesimpulan berdasarkan maklumat, alasan dan bukti yang kukuh
b. Merumuskan berdasarkan pola maklumat yang tertentu

  • Mengesahkan sumber maklumat
Definisi : Menentukan sama ada punca sumber maklumat boleh diterima atau dipercayai.

Tujuan
a. Menentukan ketepatan maklumat
b. Meningkatkan kemahiran dalam mengumpulkan maklumat

  • Membuat generalisasi
Definisi : Membuat kesimpulan umum berdasarkan maklumat yang menyeluruh dan konsisten

Tujuan
a. Menggunakan sampel yang bersesuaian dengan objektif
b. Memilih sampel yang dapat mewakili perkara yang ingin dikaji

  • Mencari sebab dan membuat kesimpulan
Definisi : Menganalisis dan menilai sebab bagi mencari kesimpulan yang lebih tepat.

Tujuan 
a. Membuat keputusan berdasarkan analisis maklumat
b. Mengemukakan hujah dan cadangan yang lebih baik
c. Berfikiran lebih terbuka dan tidak bertindak terburu-buru






No comments:

Post a Comment